14 June 2008

Noraniza Belum Bersedia

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN

Sumber : Utusan Malaysia 28 April 2008

Noraniza Idris bersama pengarah urusan Lestari Tours Sdn. Bhd, Anita Omar.

JERIH perit hidup sendirian sudah pun berakhir. Langkahnya kini tidak lagi keseorangan apabila dia bertemu jodoh dengan seorang usahawan dari sebuah negeri di utara tanah air berusia awal 50-an.

Namun, dia mengerti permainan sebagai anak seni menuntut tahap kesabaran yang tinggi. Sementelah setelah berumah tangga, pelbagai pula kisah-kisah kurang enak yang lagi masih singgah pada dirinya.

Tambahan pula sikapnya yang tidak mahu mendedahkan suaminya antara penyebab lebih banyak spekulasi ditimbulkan.

Tetapi biar apa jua yang tanggapan orang lain terhadap Noraniza Idris atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani tetap dengan keputusannya untuk tidak mendedahkan siapakah suaminya.

“Saya lebih selesa dengan keadaan sebegini. Tak kisahlah apa yang orang nak cakap mengenai rumah tangga saya.

“Saya tetap dengan keputusan saya untuk tidak mendedahkan identiti suami saya,” tenang dia menjawab persoalan mengenai teka-teki identiti suaminya pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Meskipun masing-masing jarang bertemu dek kerana kesibukan namun itu bukanlah satu masalah besar baginya.

Jelas penyanyi yang popular menerusi lagu Awallah Dondang ini, dia sendiri sudah berjanji untuk memberi tumpuan pada kerjayanya.

“Saya ada perjanjian dengan diri saya sendiri. Walaupun dah berkahwin saya mahu memberi tumpuan pada pekerjaan saya dalam masa dua tahun ini. Sebab saya ada anak-anak yang mahu saya jaga dan berikan harta kepada mereka selagi saya mampu,” luah Noraniza menjelaskan pendiriannya.

Menyambung perbualan, anak seni kelahiran Johor ini memberitahu, apa yang paling penting ketika ini ialah suaminya cukup memahami dan sentiasa memberikan galakkan kepadanya.

“Dia memberi sokongan atas apa sahaja yang saya lakukan. Cuma dia berpesan agar pandai menjaga diri dan nama baik keluarga. Saya bersyukur dia amat memahami saya,” kata Noraniza dalam riak wajah penuh gembira.

Menyentuh tentang zuriat pula sambil ketawa kecil ujar Noraniza: “Rasanya tak akan bertambah kot. Sebab kami masing-masing dah ada anak. Jadi sudah mencukupi.”

Sibuk dengan projek sejarah

Beralih kepada kerjaya seninya, Noraniza memberitahu, pada masa ini dia sibuk memberi tumpuan pada projek usaha sama Pelayaran Masyhur Laksamana Cheng Ho.

Projek usaha sama antara syarikatnya dan Lestari Tours Sdn. Bhd., ini memberi peluang kepada para pengunjung untuk menerokai sejarah dan pengembaraan Cheng Ho di Melaka.

“Saya kini sangat sibuk dengan program promosi Dataran Pahlawan Melaka. Banyak program yang akan berlangsung. Pada 1 Mei ini program akrobatik dan pertunjukan silap mata akan diadakan di sana.

“Manakala pada 1 Ogos ini akan berlangsung pelancaran dan program Pelayaran Masyhur Laksamana Cheng Ho selama tiga bulan,” terang ibu kepada Mohd. Alif Haikal, 19, dan Mohd. Alfeq Haikal, 15, ini lagi

Khalayak yang berminat bolehlah menghubungi Lestari Tours Sdn. Bhd. di talian 016-7236699.

Tiket-tiket berharga RM 10 dan RM 20 dikenakan bagi menyaksikan persembahan tersebut.

Album baru

Meskipun sibuk menguruskan aktiviti perniagaannya, penyanyi bersuara lemak ini menegaskan, bidang seni tidak akan sama sekali dilupakannya.

Menurutnya, besar kemungkinan sekitar Jun depan dia akan mula masuk studio rakaman semula.

“Saya sedang mengumpul material dan Alhamdulillah saya dah mendapat lagu daripada beberapa komposer antaranya Cat Farish dan Yasin.

“Buat masa sekarang saya masih lagi mencari lagu-lagu yang sesuai dengan konsep album saya,” kata Noraniza yang masih lagi mengekal konsep etnik kreatif sebagai tunjang albumnya.

07 June 2008

EKSKLUSIF : SEPARUH AKHIR MUZIK-MUZIK 1993

Sila ke sini untuk melihat video Noraniza Idris sewaktu persembahan lagu Monolog Luka untuk Separuh Akhir Muzik-Muzik 1993.

01 May 2008

21 April 2008

Profil Noraniza Idris


(Sumber : Wikipedia)


Nor Aniza Binte Haji Idris @ Noraniza Idris
dilahirkan di Kampung Melayu, Kluang Johor. Anak kepada penyanyi boria dan qariah Al-Quran ini, ialah anak keenam daripada dua-belas adik beradik. Berpendidikan rendah di Sekolah Tengku Mahmud 1, Kluang dan seterusnya melanjutkan pengajian di Sekolah Tinggi Kluang.


Noraniza Idris telah menyertai Bintang RTM pada tahun 1985 sebelum merakamkan lagu dalam album 'Melayu Deli' yang diterbitkan oleh Life Record. Dalam rakaman itu Noraniza Idris telah banyak dibantu oleh Hamidi Rashid yang merupakan A&R Life Record waktu itu. Bermula dari situ, Noraniza Idris telah membentuk imej dan personalitinya sebagai seorang penyanyi.


Setelah 'Melayu Deli', Noraniza Idris merakamkan album 'Singkong dan Keju'. Popularitinya semakin meluas apabila beliau merakamkan pula lagu-lagu dari filem, sebanyak 9 Volume dan seterusnya 'Nostalgia Malindo' sebanyak 3 Volume. Setelah tiga tahun menyanyikan lagu-lagu dari filem dan lagu orang lain, akhirnya beliau diberi peluang menyanyikan lagu sendiri dalam albumnya yang bertajuk 'Inginku Sandarkan Harapan' pada tahun 1988. Album tersebut berjaya menarik perhatian pendengar dan membuat kehadirannya semakin diterima. Noraniza Idris kemudian mengambil keputusan beralih ke syarikat rakaman Sony Music. Selepas itu beliau tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman lain, sebaliknya hanya membuat album sendiri bersama penyanyi Allahyaraham Abdullah Chik.


Pada tahun 1997, Noraniza Idris telah melahirkan album yang bercorak pop tradisional, 'Ala Dondang' dengan kerjasama Suria Record (SRC). Memandangkan sambutan yang menggalakkan, beliau terus kekal merakamkan album-album yang berirama tradisional Malaysia seperti 'Masyhur' dan 'Seri Balas'.


Pada album yang berikutnya, Noraniza Idris telah membuat satu pembaruan pada album beliau dengan menyelitkan lagu yang berunsurkan peribumi tradisional. Maka terbitlah lagu 'Ngajat Tampi' (ciptaan Rosli Selasih/Siso) dalam album 'Bekaba'. Seterusnya, terlahir pula 'Aura' dan 'Sawo Matang'. Pada tahun 2006, Noraniza Idris telah menerbitkan sebuah album kompilasi khas untuk menandakan 20 tahun penglibatan beliau dalam industri muzik ini, iaitu 'Lenggok Noraniza Idris: 20 Tahun'. Album ini juga sempat memuatkan sebuah lagu lama yang diolah semula, 'Dayung Sampan', dengan menampilkan pemain erhu, He Yun yang didatangkan khas dari Negara Cina.

13 April 2008

Noraniza di Konsert Akademi Fantasia 6

HATI KAMA
Lagu : Pak Ngah
Lirik : Hairul Anuar Harun

Mengindang-ngindang padi huma
Mengindang dalam tampian
Memandang-mandang hati kama
Memandang dalam renungan

Bisik-berbisik pada pekerti mulia
Risik-merisik mana lahir asal usulnya

Mendengar suara lela lebur
Bertentangan mata panah arjuna
Terbayang senyuman bunga gugur
Siapa gerangan bagaikan betara

Adakah dia hamba sahaya
Ataupun bijak mentafsir mimpi
Mungkinkah jua benar diduga
Hingga terusik hati nurani

Tawanlah jiwa ku
Bebaskan sayap juwita
Turutlah janji ku
Tinggalkan segenap lara

Burung yang terbang
Salam utuskan salam
Pada renungan pandang
Selayang pandang

Bukan gahara
Atau pesona
Insan biasa

Wawancara Bersama Noraniza Idris




“Baliklah...Potong jari kalau album ni tak jalan” Begitulah antara kata-kata yang terpaksa dihadapi oleh beliau ketika saat awal mengemukakan proposal untuk menerbitkan sebuah album berentak tradisional. Begitu banyak dugaan mendatang. Namun, demi sebuah perjuangan, cemuhan adalah bara yang membangkitkan semangatnya. Kecekalan dan kesungguhan adalah penawar kepada segala kekecewaan. Bukan menanggar beban, tetapi menggalas tanggungjawab. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Anak bangsa harus dididik. Beliaulah budayawan NORANIZA IDRIS. Jejak Utama berkesempatan mewawancara beliau di Synchrosound Studios, Petaling Jaya untuk merungkai perjuangannya dalam memartabatkan irama etnik Malaysia.


Boleh ceritakan latar belakang Kak Ani?
Kak Ani dilahirkan pada 27 Ogos 1968 di Kluang, Johor. Dibesarkan juga di sana. Anak keenam daripada 12 orang adik beradik. Sekarang ini semuanya sudah berkahwin. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Tengku Mahmud 1, Kluang dan seterusnya menyambung pengajian menengah di Sekolah Tinggi Kluang. Mula menyanyi semasa berumur 12 tahun diatas dorongan arwah abah.






Ketika berusia 17 tahun, Kak Ani telah menyertai Bintang RTM dan bermula saat itulah bermulanya karier sebagai seorang penyanyi. Sebenarnya arwah abah dulu penyanyi boria manakala mak ialah qariah Al-Quran dan mungkin secara kebetulan juga semua adik-beradik Kak Ani boleh menyanyi lagu-lagu asli.

Apakah perkembangan terbaru Kak Ani?
Sejak dua tahun lepas, Kak Ani dan suami, Abang Fareez telah mengambil alih pengurusan Taman Mini Malaysia dan Mini Asean, Ayer Keroh. Selepas enam bulan beroperasi, syarikat kami, Gerak Budaya SDN BHD telah mengorak langkah setapak lagi dalam bidang penerbitan lagu-lagu etnik Malaysia. Artis pertama Gerak Budaya ialah Kak Ani sendiri dengan album berjudul ‘Sawo Matang’. Sekarang, kami sedang mengemaskini program promosi seluruh Malaysia untuk rangka promosi album ini.

Selain daripada itu, sebagai pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia cawangan Mini Malaysia, Kak Ani telah membuat proposal untuk pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan belia. Dalam tahun 2004 ini sahaja, kami telah menganjurkan masakan tradisional di rumah-rumah Malaysia disamping kemahiran sukan rakyat yang dijalankan pada setiap minggu. Jadi Kak Ani sedang merangka pengisian aktiviti untuk 1200 orang ahli berdaftar dalam masa setahun supaya mereka terasa dihargai.


Sejak bila timbul minat untuk memperjuangkan irama etnik ini?
Kak Ani dulu pun macam kamu semua, tak suka lagu asli, ngantuk…Bermula dari 12 tahun, arwah abah Kak Ani akan wajibkan, boleh menyanyi di luar, tetapi dengan syarat satu lagu mesti asli. itu adalah syarat utama. Bila Kak Ani buat album pun, ikut kesesuaian vokal mereka suruh Kak Ani buat lagu melayu deli.






Ada satu ketika Kak Ani buat persembahan pada tahun 1995 dengan lagu ‘Siti Payung’ dan ‘Sri Mersing’. Itu dua lagu kegemaran Kak Ani. Tapi bila nyanyi , orang akan kata “ Baliklah…ROCK! WE WANT ROCK!”. Jadi, benda-benda sebegini kita rasa tercabarlah sebagai orang melayu. Kak Ani rasa kenapa mereka jadi sebegitu, kita rasa kecewa.

Sebab budaya ini bercirikan asas jatidiri yang kuat. Jadi, bila kita nak masuk ke arus sekarang ia lebih memberi keutamaan kepada muzik-muzik moden. Jadi susah untuk kita jadikan irama kita sebati dengan muzik yang sudah sedia ada sebelum ni. Itu masalah kita. Daripada rasa kekecewaan itu dan mungkin semangat jatidiri kita dah dipupuk sejak daripada kecil timbul minat untuk memperjuangkan irama tradisional.

Jadi kebetulan Kak Ani berkahwin dengan suami Kak Ani, Abang Fareez. Dia jenis pendorong dan suka pada lagu-lagu tradisional. Dialah yang mencadangkan kepada Kak Ani untuk buat satu konsep dan kita jualkan kepada mana-mana syarikat rakaman yang berminat menerbitkan album berkonsep tradisional.

Kita pergi ke satu-satu syarikat rakaman sampai ada satu studio kata,” baliklah. Potong jari kalau album ni tak jalan”. Walaupun orang kita yang cakap, maknanya dia telah dikongkong oleh faktor pasaran itu tadi. Dia tidak pergi kepada tanggungjawab. Dari segi jatidiri mungkin dia ada tapi tanggungjawab untuk memelihara.

Jadi bagi Kak Ani secara logiknya, suatu kualiti yang susah untuk orang terima bila sentiasa diasak dan diperdengarkan, lambat-laun benda yang tak sedap pun boleh jadi sedap. Sama juga dengan lagu tradisional.

Tapi masalah kita sekarang, bagaimana kita nak letak lagu kita itu seiring dengan muzik-muzik lain. Jadi apabila Kak Ani bertemu dengan SRC, mereka hendak cuba mempertaruhkan album tradisional. Itulah bermulanya Ala Dondang dan dari situ Kak Ani mula menyelami satu-satu irama yang kita buat.

Apa pendapat Kak Ani terhadap remaja sekarang ini yang kurang meminati irama tradisional?
Kak Ani tak salahkan remaja…Kita harus fikir jangka masa kita dijajah sehinggalah merdeka. Penerimaan muzik-muzik luar juga penting untuk mengglobalkan muzik kita. Tapi banyak dugaannya. Contohnya, ada sesetengah badan penyiaran yang meletakkan satu garis panduan dimana lagu tradisional hanya boleh dikeudarakan sekali setiap 4 jam.






Jadi berapa banyak sangatlah lagu tradisional yang boleh diperdengarkan kepada generasi muda kita sebab dari awal lagi mereka telah kawal pengeluarannya dalam negara sendiri. Itu belum keluar lagi. Belum ke Indonesia yang harus mengikut syarat yang telah ditetapkan, baru boleh jual. Itu pun tak tentu.

Selagi nama artis luar, mereka tak akan beri keutamaan. Melainkan kalau orang itu betul-betul menyerlah dan sudah tidak boleh buat apa. Oleh itu, bagaimana kita nak generasi muda untuk minat kalau orang-orang yang berpengaruh dah mempunyai satu sikap nak mengawal produk kita daripada keluar.

Sebagai seorang pelajar, apa yang kami boleh lakukan untuk bersama-sama memperjuangkan seni budaya kita?
Sebenarnya apa-apa pun asasnya mesti ada. Kalau kita tak minat, kita paksa diri kita minat pun tak boleh juga. Prosesnya adalah perlahan. Maksudnya, kalau kita tarik benang dalam tepung kita kena perlahan-lahan supaya tepung itu tak berterabur.

acam dalam Mini Malaysia, mujur Kak Ani ada ruang untuk buat aktiviti jadi di situ banyak Kak Ani sediakan bengkel-bengkel jatidiri seperti ‘Gendang Melayu’. Nama saja ‘Gendang Melayu’ tapi sebenarnya dalamnya penuh dengan motivasi dari segi kesedaran kita yang mempunyai identiti dan harus memelihara identiti tersebut sampai bila-bila.

Sebab Kak Ani dah nampak kalau kita tidak buat, maknanya masa depan budaya kita dah jadi macam ada tak ada. Sampai satu ketika, kita tak dapat hendak tonjolkan identiti kita keluar. Takkanlah Kak Ani nak nyanyi sampai umur 40- 50 tahun. Kita mesti ada pelapis. Pelapis ini yang akan memperlihatkan budaya kita sentiasa wujud di persada seni. Jadi kalau tak ada pelapis maknanya selepas ini Irama Malaysia akan jadi seperti dulu semula, mereka akan tengok melopong dan akan diletakkan semasa pre-show atau post-show.

Kak Ani dah melalui 17 tahun dalam industri ini, dah nampak turun naiknya. Kalau kita lihat orang yang boleh bertahan dalam industri ini yang masih buat album sehingga umur 50-60 tahun ke siapa, kalau bukan yang berasaskan tradisional. Ada penyanyi R&B di Malaysia ni yang masih bertahan? Tiada, bukan. Maksudnya asas itu masih boleh diterima oleh masyarakat kita sendiri. Oleh itu, kenapa tidak kita sendiri pupuk melalui aktiviti-aktiviti. Terlanjur Kak Ani ada ruang, Kak Ani buat aktiviti itu.

Mengapakah Kak Ani menampilkan penari dan penyanyi latar yang ramai setiap kali membuat persembahan?
Baiklah, pernah dengar lagu Kak Ani kan? Seperti lagu ‘Dikir Puteri’. Konsep lagu itu Dikir Barat yang ada sahut menyahut. Bayangkan kalau Kak Ani seorang nyanyikan lagu itu tanpa ada suara-suara itu. Apa akan terjadi kepada Dikir Puteri? Kosong dan tak bermaya kerana tiada suara dan penari latar serta awak-awak.


Jadi kita nak tonjolkan satu-satu etnik yang kita perkenalkan adalah melalui visual. Orang keliling kita yang menonjolkannya. Kita menyampaikan mesej melalui lagu tapi orang lain yang menterjemahkannya.

Contohnya Juara Lagu baru-baru ini. Kadang-kadang nak dijadikan kontroversi mereka tokok-tambah sebab Kak Ani hanya bawa 18 orang penari sahaja tapi ada yang kata 48 malah 75. Tidak robohkah pentas Juara Lagu begitu? Tak logik, bukan. Ini adalah salah satu faktor yang bagi Kak Ani cuba mensabotaj irama Malaysia daripada menyerlah.
Sebab kita nak bawa sesuatu ke pentas Juara Lagu bukan senang dan kalau ada orang yang lebih bagus daripada Kak Ani di luar sana mungkin dia tak mampu buat seperti Kak Ani sebab Kak Ani sajalah satu-satunya artis irama Malaysia yang mampu ke Juara Lagu. Maknanya ruang itu ada untuk diterjemahkan. Jadi kenapa Kak Ani tak mahu buat.

Tugas Kak Ani, bawa budaya dalam hiburan. Budaya ini berteraskan asas jatidiri yang kuat tapi hiburan bercirikan komersial. Apabila kita bawa budaya dalam hiburan, kita harus rancangkan mengikut citarasa sekarang. Jadi, Kak Ani berada di tengah-tengah. Orang sini akan pukul kita dan orang sana akan pukul kita. Orang sini adalah orang veteren yang menjaga dan memelihara asas itu tadi. Orang sana pula adalah dari aliran komersial.

Sama ada orang komersial suka atau tidak, semuanya bergantung pada cara Kak Ani olah. Orang veteran pula akan bantailah kita kenapa cuba merosakkan padahal bila kita tidak buat secara kotemporari, bagaimana kita hendak menarik generasi muda untuk sukakan etnik tu. Jadi, berbalik kepada tadi, kenapa Kak Ani bawa penari, adalah sebab Kak Ani bukan jual lagu dan nama saja tapi juga lirik dan mesejnya.

Sekarang ini, bila kita berbicara mengenai terjemahan etnik, sesetengah orang tidak boleh terima. Dia anggap “ini Juara Lagulah, komersial punya line”. Mana boleh macam tu. Itu hak seseorang untuk menyerlahkan persembahannya. Kita tak boleh halang kreativiti. Malah TV3 pun tidak halang. Namun ada sesetengah orang. Jadi kita terpaksa ikutkan rentak orang kalau kita hendak masuk ke dunia mereka. Kak Ani tak kisah bila orang kata gerak hodohlah dan sebagainya kerana Kak Ani dapat tunjukkan primitif yang sebenarnya.


Apakah matlamat Kak Ani dalam memperjuangkan irama etnik ?
Matlamat tinggilah, kalau nak kata matlamat. Konsert pun susah nak dapat. Kalau nak diikutkan konsert itu dah dikira kepentingan peribadi. Tapi kepentingan peribadi dari segi karier memang penting. Selain daripada nama, kita juga perlu konsert itu untuk menterjemahkan kepada khalayak yang lebih besar. Tapi masalahnya adalah tajaan.



Apabila melibatkan korporat, harus ada sesuatu yang berkait dengan syarikat mereka. Oleh itu, berdasarkan inisiatif sendiri, Kak Ani cuba letakkan irama etnik sekurang-kurangnya seiring dengan muzik-muzik lain. Itu sahaja. Kalau nak kata tanggungjawab itu memang beratlah sebab kita kena ada sokongan daripada semua pihak. Macam itu juga kalau kita nak jual album. Kalau jual album di Malaysia, orang kita sahajalah yang dengar. Tapi walaubagaimana pun kita hendak keluar.

Contohnya seperti Krakatau, dahulu pun mereka ditentang juga. Mereka bagus tapi disebabkan mereka buat pembaharuan jadi orang banyak tidak boleh terima, namun lama-kelamaan mereka suka juga. Jadi ia perlukan satu jangka masa yang panjang dan banyak pengorbanan untuk meletakkannya ke satu tahap yang lebih baik. Bukan diri sendiri, Kak Ani jual produk Kak Ani bukan jual nama. Ada bezanya. Sebagai artis memang orang kata jual nama, mesti banyak show. Tak, Kak Ani tak pernah fikir show sebab Kak Ani suka konsep tu orang faham. Jadi kita harus kongsi dengan semua orang.

Bagaimanakah Kak Ani membahagikan masa?
Kak Ani ada jadual. Kita sendiri kena set jadual sendiri. Kalau Kak Ani di Melaka harus focus pada perkara di sana. Famili Kak Ani pula, suami Kak Ani tinggal di Melaka tapi anak-anak masih bersekolah di sini. Jadi Kak Ani terpaksa fikirkan kepentingan di antara karier dan anak-anak siapa yang lebih penting, anak-anak sebab mereka perlukan perhatian so Kak Ani kena tinggal di sini.

Untuk berkumpul dengan keluarga, Kak Ani terpaksa cari satu ruang. Kalau Abang Fareez tak boleh ke sini, Kak Ani akan turun ke Melaka untuk kumpulkan empat beranak. Kita mahukan suasana itu. Kemudian kalau kerja-kerja seperti La Belle Design, Local Media, Gerak Budaya, atau Persatuan Belia 4B, Kak Ani mesti buat satu jadual. Macam sekarang ini Kak Ani dah tetapkan bermula Januari, dalam satu minggu dua hari Kak Ani mesti ada di Mini Malaysia.
Kalau Kak Ani tak dapat dua hari pun, balik hari pun tidak mengapa untuk pastikan program berjalan lancar. Begitu juga di sini, La Belle Design ada orang yang jaga. Maknanya mereka akan beri laporan kepada Kak Ani setiap hari.

Boleh Kak Ani ceritakan serba sedikit mengenai album ‘Sawo Matang?
Sawo Matang berkonsepkan fusion etnik. Sebelum ini, Kak Ani buat pop tradisional yang lebih kepada asas iaitu elemen dan ritma dimasukkan elemen barat seperti drum, bass, gitar, dan apa sahaja yang lain daripada asas itu . Kak Ani buat pop tradisional dalam album ‘Ala Dondang’, ‘Masyur’,’Bekaba’, dan ‘Iktiraf’. ‘Aura’ pula lebih pengkhususan tapi lari sikit dari segi penggunaan ritma namun muzik tradisional itu masih 70%.

Berbeza dengan ‘SAWO MATANG’, kita gabungkan ritma, elemen dan rentak barat yang bersesuaian seperti funky dan R&B. Maknanya kita guna gitar powerport dan sebagainya bersama dengan ritma dan instrument tradisional. Bagi fusion ini bila kita telah gabung dari proses mixing, nyanyian sahaja Kak Ani akan kekalkan cara identiti yang ada.

Tapi seperti lagu jawa ‘Hatinya Tak Tahan’, gendang jawa dan seruling kita tetap pertahankan. Hanya asas moden itu tadi kita tonjolkan dari segi penggunaan drum dan bass. Ia lebih kepada tekno digabung dengan gamelan bali dan ketoprak jawa. Begitu juga dengan lagu orang asli, ‘Ayuh Juragan’ yang telah dimodenkan. Namun nyanyian ramai memang asli sebab itu adalah identitinya. Nyanyian Kak Ani cuba modenkan.

Disamping itu, penggunaan buluh tetap dikekalkan mengikut ritma. Jadi bila kita gabungkan dengan asas orang asli itu ia jadi segar. Justeru, ‘SAWO MATANG’ lebih kepada konsep sebegitu.

Apakah pesanan Kak Ani kepada para pelajar SMK Bandar Utama?
Baiklah, dari segi menarik minat untuk bersama-sama memperjuangkan irama Malaysia, tak bolehlah kita nak paksa. Sebab itu bergantung kepada diri sendiri. Tapi cuba perbanyakkan mendedahkan diri kita kepada program-program kemasyarakatan dan kebudayaan.

Secara tak langsung, lambat-laun kita akan dapat menyemai rasa cintakan budaya sendiri. Dan begitu juga, kalau dapat cari ruang untuk mengikuti satu kajian. Anda bukan sahaja boleh pergi melawat ke taman-taman informasi seperti Mini Malaysia, malah boleh ke pendalaman, perkampungan orang asli dan pelbagai lagi etnik yang ada di Malaysia.

Sebab melalui penglibatan kita secara serius itulah secara perlahan-lahan akan datang sendiri rasa tanggungjawab sampai satu ketika kita akan jadi fanatik pada budaya sendiri. Bukanlah Kak Ani nak suruh anda buang semua, tidak. Teknologi canggih ini bagus, ia berjaya mengglobalkan muzik kita ke tahap yang lebih baik sebenarnya. Jadi dengan inilah kita boleh menyerlah sekarang. Oleh itu, apa yang Kak Ani nasihatkan, untuk menyelami budaya sendiri harus daripada dalam diri kita. Dari situ kita akan dapat kekalkan budaya bangsa kita. Kalau untuk aliran Kak Ani begitulah.

Tapi kalau luar daripada tu, belajarlah sungguh-sungguh. Apa-apa pun belajar. Itu pun penting juga. Sebab kalau nak jadi orang seni, biarlah menjadi orang seni yang berilmu. Jadi pelajaran tu amat penting.

**NORANIZA IDRIS boleh dihubungi melalui alamat e-mel noraniza_fareez@yahoo.com

JEJAK UTAMA ingin merakamkan penghargaan kepada hos Kafe Aktif, Ahmad Fedtri Yahya diatas bantuan beliau dalam menjayakan wawancara ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Khirul Ezar, Ummu Khair Fatimah, dan Wan Siti Nurul Huda atas pertolongan yang diberikan.